ANTARA NASIHAT DAN FLEKSIBELITINYA.
Diolah oleh: Siti Kamariah Harun
“Agama itu nasihat. Agama itu nasihat.
Agama itu nasihat. Maka sahabat pun bertanya: Kepada siapa? Jawab Baginda:
Kepada Allah, kepada Kitab-Nya, kepada Rasul-Nya, kepada pemimpin kaum muslimin
dan juga orang awam muslimin.” (Hadis riwayat Muslim)
“Katakanlah sesuatu itu walaupun ia pahit.”
“Manusia itu bersifat pelupa dan oleh sebab
itu kita wajib saling mengingatkan.”
"Siapa
yang melihat kemungkaran hendaklah dia mengubahnya (taghyir) dengan tangan,
jika tidak mampu hendaklah mengubahnya dengan lidah, jika tidak mampu hendaklah
dia mengubahnya dengan hati, dan yang demikian itu adalah selemah-lemah
iman." (Hadis
Riwayat Muslim)
Kita sudah sering disajikan dengan bicara tentang amal
makruf dan nahi munkar, lalu apa kata kali ini kita tilik semula sesuatu yang
kita selalu terlepas pandang. Sebenarnya, dalam
memberi nasihat dan peringatan, perkara yang amat penting yang perlu
kita ambil kira adalah keadaan penerima nasihat yakni orang yang kita ingin
berikan nasihat.
Persoalannya, kenapa perlu kita mempertimbangkan keadaan
orang yang mahu kita nasihat? Jelasnya, kita adalah manusia biasa sama seperti
nabi dan sahabat dari sudut fitrahnya. Kita
makan, minum, bekerja, dan melakukan rutin
- rutin seharian kita dalam menjalani kehidupan. Lalu, tentulah kita ada
masanya akan berasa penat, bosan dan seumpamanya. Maka, sudah tentulah nasihat
yang diberi pada waktu – waktu sedemikian akan menjadi kurang efektif dan
berkesan. Ini sebab; manusia secara fitrahnya dipengaruhi emosi dan keputusan
yang mereka buat juga hampir kesemuanya dipengaruhi oleh emosi. Oleh itu; untuk
memastikan nasihat dan peringatan yang diberi adalah berkesan dan memberi impak
kepada pendengar kita hendaklah memilih waktu yang sesuai.
Sebaiknya, kita hendaklah memastikan orang yang hendak
dinasihati dan diberi peringatan ataupun si pendengar berada dalam keadaan
tenang dan bersedia untuk menerima nasihat dan peringatan yang ingin diberikan.
Logiknya, seseorang yang berada dalam keadaan tenang dan tidak letih, bosan,
marah, mengantuk dan seumpamanya dapat mencerna info dan maklumat yang diberi
dengan lebih baik. Sebagai contoh; sesi ceramah atau kuliah agama yang kita dengar
di antara waktu maghrib dan Isyak. Sekiranya sesi tersebut terlalu panjang dan
lama, ia akan menyebabkan kebarangkalian sesi ceramah atau kuliah agama
tersebut menjadi melalut. Selain daripada itu, sidang jemaah pendengar akan
menjadi bosan dan hilang fokus. Tambahan pula, rutin kebanyakan penduduk malaysia
ialah mereka akan bekerja dari 8 pagi sehingga 5 petang bahkan kadang – kadang
akan menjangkau lebih daripada itu. Oleh itu, mempertimbangkan faktor ini kita
haruslah membuat sesi kuliah atau ceramah maghrib itu padat dan ringkas kerana
sesi yang terlalu panjang akan membuat jemaah pendengar menjadi bosan dan boleh
jadi apa yang didengari menjadi sesuatu yang disebut oleh pepatah lama; “masuk
telinga kanan, keluar telinga kiri”. Begitu
juga sekiranya si pendengar dalam keadaan perasaan yang kurang baik seperti
marah, bosan dan seumpamanya. Adalah mustahil seseorang yang berada dalam
keadaan emosi yang tidak stabil dapat menerima dan mencerna nasihat dan
peringatan yang diberi dengan baik.
Bila menyentuh tentang keadaan, ia tentulah termasuk
keadaan sekeliling orang yang ingin kita tegur. Sekiranya akan memberi aib
dirinya sekiranya kita nasihati individu atau individu – individu tertentu
tersebut, adalah lebih baik sekiranya kita berbincang secara privasi dengan
mereka. Tambahan pula, menjadi tanggungjawab kita menjaga aib orang lain.
Demikian adalah sebahagian contoh yang dapat kita kongsikan tentang hubungan
antara nasihat dan fleksibilitinya dari sudut waktu dan keadaan si pendengar
nasihat.
Kesimpulannya,
tidak kira apa sekalipun kita hendaklah saling mengingati dan saling menasihati
kerana kita fitrahnya adalah manusia yang sering terlupa dan alpa dengan dunia.
Namun demikian, dalam kita menasihati dan memberi peringatan, hendaklah kita
mengambil kira keadaan dan situasi si pendengar agar nasihat dan peringatan
yang diberi memberi faedah kepada kedua – dua belah pihak, dapat diterima dan
mendapat keberkatan dari Allah Yang Maha Berkuasa. Justeru, wahai saudara dan
saudari yang dikasihi sekalian, marilah kita fikir – fikirkannya dan
bermuhasabah diri.
Sekian.
Sekian.
No comments:
Post a Comment